Ketika
kita sedang membaca tulisan ini, apakah dosa terakhir yang telah kita buat
sebelum ini? Dalam masa sesaat, seminit, sejam, sehari, seminggu, sebulan dan
seterusnya sebelum ini, apakah kita telah melaluinya tanpa sebarang dosa pun
yang terpalit di hati? Hakikatnya, kita semua pasti telah melakukan dosa,
daripada sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya. Ya, setiap bani Adam itu pasti
melakukan dosa, sebaik-baik orang berdosa ialah mereka yang bertaubat.
Persoalannya, adakah kita tergolong di kalangan sebaik-baik orang yang berdosa?
Sehebat
mana maksiat yang kita lakukan, kita pasti membencinya tatkala kita kembali
merenung dan bermuhasabah sendirian. Sepuas mana hati itu merasa dengan dosa
yang kita lakukan, pasti ada tersudut perasaan benci, dan menyesal yang teramat
sangat atas apa yang telah kita lakukan. Itulah fitrah yang telah Allah
ciptakan dalam diri kita. Bukannya kita tidak merasa menyesal, tapi kita selalu
menolak rasa penyesalan dan masih terus memenangkan kemaksiatan. Kita ingin
bertaubat dengan sebenar-benarnya, namun perasaan ingin bertaubat itu tersisih
di pinggiran hati.
Pun begitu, Allah memahami kita
lebih daripada kita memahami diri sendiri. Allah itu terlalu besar
pengampunannya buat hamba-hamba-Nya. Namun, kita selalu bongkak dan merasa
bahawa dosa kita itu lebih besar daripada rahmat Allah dan tak mungkin
terampun. Sombong, tidak mahu kembali kepada Allah. Lalu kita berputus asa
daripada menagih keampunan dan Rahmat Allah kerana dibohongi perasaan sendiri,
dipalingkan oleh syaitan, dikuasai oleh ego yang tidak selayaknya bagi kita.
Kita mengeluh sendirian, "ah, aku terlalu berdosa,
tak mungkin aku dapat kembali ke jalan yang lurus", seolah-olah
kita itu lemah dan patut dikasihani, namun sebenarnya kita itu sombong dan
angkuh terhadap Allah! Sedarkah kita?
Lalu
kita terus mengikuti dosa dengan dosa, sedangkan Rasulullah berpesan:
"Bertakwalah
kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada, dan iringilah kesalahan kamu
dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapuskan kesalahan tersebut dan
pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik." (HR Tirmidzi)
Jelas
bahawa seorang hamba itu tidak dapat lari daripada tergelincir ke lembah
maksiat dan dosa, namun dia juga sentiasa dialu-alukan oleh Allah untuk memohon
ampunan dan kembali taat. Maka tatkala kita merasakan bahawa kitalah yang
paling berdosa dan terlalu besar maksiat yang kita lakukan, kita juga harus
sedar bahawa tatkala itu, kitalah yang paling wajib untuk kembali ke pangkuan
Ilahi, bertaubat sepenuh hati. Ya, taubat itu bagi seorang Mukmin bukannya satu
pilihan, tapi satu kewajipan kerana dosa itu sesuatu yang tidak dapat
dielakkan, besar mahupun kecil.
Itu
satu sudut pandang buat mereka yang berdosa, agar kita tidak terjerumus ke
dalam tipu daya syaitan yang menghalang kita daripada menagih keampunan Allah
biar sebesar mana dosa kita. Jangan biarkan taubat itu tersisih di pinggiran
hati, lantas hilang sebelum sempat ia memasuki hati. Namun, dalam satu sudut
yang lain, tidak harus kita berangan-angan akan Rahmat Allah lantas selesa
dengan berbuat dosa. Kita memujuk hati dengan mengatakan, "Allah itu kan
Maha Pengampun, jadi tak ada masalah berbuat dosa berkali-kali." Anggapan
yang sebegini akan menjerumuskan kita lebih jauh ke dalam lembah kemaksiatan
sehingga semakin sukar untuk kita kembali.
Maka,
jangan tunggu dosa itu bertampuk dan semakin menggelapkan hati. Tatkala kita
terdetik untuk bertaubat, teruskanlah taubat itu dan jangan lengah-lengahkan
atau tangguhkan. Setiap kali kita tergelincir, bertaubatlah. Allah tak mengira
berapa kali kita sudah melakukan dosa tersebut, tetapi Allah pasti menerima
taubat setiap hamba-Nya yang ikhlas dan lahir daripada sudut hati yang sedar
akan kekuasaan Allah.
Jangan
biarkan taubat itu tersisih di pinggiran hati, masukkan ia ke dalam hati dan
laluilah jalan yang diredhai Allah. Mudah-mudahan Allah tidak menyisihkan kita
di hari perhitungan di pinggiran Neraka, bahkan di jurang api neraka.
Na'udzubillah!
"Dan
Allah hendak menerima taubatmu, sedang orang-orang yang mengikuti keinginannya
menghendaki agar kamu berpaling sejauh-jauhnya (dari kebenaran). Allah hendak
memberikan keringanan kepadamu, kerana manusia diciptakan (bersifat)
lemah."
(An-Nisaa':
Ayat 27-28)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan